Carian

Room Chatting

Saturday, October 6, 2007

Siapa sebenarnya khianati perjuangan Islam?

BEBERAPA rencana dan soal jawab yang disiarkan oleh Utusan Malaysia sama ada mengenai ruangan Forum atau ruangan Agama telah ditimbulkan mengenai takrif ulama. Penulis sendiri telah menghadiri satu majlis forum di salah sebuah institusi Islam di Kedah yang dihadiri oleh para ulama dan para korporat yang berlatar belakang agama.

Penulis telah mengemukakan soalan kepada panel, ''Kenapakah pakar di bidang lain seperti perundangan, perakaunan dan ekonomi tidak boleh digelar ulama?''

Walaupun para ahli panel tidak menjawabnya tetapi salah seorang daripada yang hadir ialah ulama yang terkenal telah menjawabnya dengan memetik sepotong ayat al-Quran daripada surah Fatir ayat 28 yang bermaksud, Bahawa mereka yang takut Allah s.w.t. ialah di antara hambanya yang ulama (berilmu).

Di sini tidak kira ilmu apa tetapi takwanya kepada Allah s.w.t. dimestikan. Oleh itu, walaupun orang itu berilmu agama yang banyak tetapi takwanya kosong, maka ia termasuk dalam golongan ulama suk atau ulama jahat.

Dalam sebuah syair Imam Shafie menyebut Ulama yang tidak beramal dengan ilmunya akan diazab oleh Allah s.w.t sebelum diazab penyembah berhala.

Ulama jahat ini termasuk ulama yang takbur membalas dendam, sifat-sifat seperti ini bukanlah lahir daripada ulama yang baik atau ulama al-khair.

Begitulah juga khatib yang berbohong atau memfitnah di atas mimbar di dalam masjid dengan berkhutbah perkara yang ia tidak pasti tentang kesahihannya boleh digelar ulama fasik kerana ia berbohong atas nama Islam. Beberapa kejadian telah berlaku di atas mimbar ketika berkhutbah amatlah memalukan.

Adalah mengarut semata-mata jika ada mereka yang berpendapat bukan Islam telah mula menerima cara parti pembangkang memerintah mungkin mereka yang ditemui itu hanya bermanis mulut kerana mencari makan atau tidak mahu gaduh dengan golongan taksub.

Baru-baru ini saya telah menziarahi seorang pesakit di Kuala Lumpur yang telah beransur sembuh banyak kawannya dari universiti turut menziarahi yang terdiri daripada kaum asing bukan Islam. Apa yang menarik sekali ialah seorang daripada mereka menjawat jawatan pengurus kanan di sebuah firma antarabangsa menceritakan: ''Ibu bapa dan keluarga saya beragama Buddha tetapi saya telah memeluk agama Kristian sejak di tingkatan empat, saya tertarik dengan agama Kristian kerana tiada banyak Tuhan seperti Buddha'', katanya.

''Kalau banyak Tuhan kacaulah yang mana satu nak di ikut''. Cerita agama Kristian ini tidak banyak berbeza dengan Islam hanya mereka mempercayai Jesus itu anak Tuhan, Islam tidak mempercayai kerana Allah s.w.t. tidak mungkin ada anak dan tidak boleh beranak. (rujuk surah Al-Ikhlas).

Pada hemat saya orang bukan Islam di Malaysia tentu akan lebih suka memilih Islam kerana dengan memeluk agama Islam mereka lebih selesa bergaul dan berinteraksi dengan kaum dan sahabat mereka yang majoriti Islam, tetapi kenapa mereka memilih Kristian.

Saya percaya kerana gambaran yang ditunjuk oleh apa yang digelar ulama Islam tidak seperti yang dipamerkan oleh paderi Kristian dengan lemah-lembut dan berpelajaran serta berpengalaman luas dalam ilmu kemanusiaan tidak membayangkan kebengisan dan kebodohan dan kadangkala kebiadaban yang dilaung atas nama Islam kalau tidak tentulah lebih banyak Fatimah Loh atau Hasnah Lim daripada Susan Lim atau Catherine Loh.

Sejak wafatnya Rasulullah s.a.w bermulalah detik perpecahan umat Islam mengenai pemilihan Khalifah yang pertama. Ada pihak yang mahu Sayidina Ali r.a. menjadi Khalifah dan pihak yang lain pula mahu Sayidina Abu Bakar r.a hingga Sayidina Ali r.a telah pergi menemui Sayidina Abu Bakar r.a memintanya menerima lantikan sebagai Khalifah barulah Sayidina Abu Bakar r.a. menerimanya.

Selepas wafat Sayidina Abu Bakar Al-Siddiq dan seterusnya diganti oleh Sayidina Omar, Othman dan Ali yang mana ketiga-tiganya telah dibunuh akibat pertelingkahan.

Selepas itu perpecahan demi perpecahan berterusan hinggalah ke akhir sekali peperangan di antara Iraq dan Iran, Iraq dan Kuwait yang membunuh jutaan sesama Islam dan membelanjakan berbilion dolar dengan sia-sia sementara umat Islam tidak berubah malah menjadi semakin lemah dan semakin jahil.

Haruslah diingat bahawa sejak sebelum Islam dan awal Islam orang Yahudi telah hidup bersama orang Arab sambil menjalankan perniagaan mereka dengan memberi hutang kepada pedagang dan tuan tanah Arab dengan mengenakan riba yang tinggi.

Mereka bercampur gaul hingga ke para ulama Islam yang terdahulu sama ada mereka dari awal lagi telah menghasut hingga berlaku pembunuhan tidak dapat dipastikan waktu itu kerana kaum Yahudi sangat kuat menyimpan rahsia hinggalah tentera Israel menawan Baitulmaqdis pada tahun 1967.

Menteri Perang Israel, Moshe Dayan dengan terang dan berani mengatakan mereka telah merancangnya selama 2000 tahun untuk balik ke sini dan mereka sama sekali tidak akan keluar darinya.

Sangkaan mereka tentang hasutan Yahudi daripada awal menjadi jelas dengan pengumuman Moshe Dayan itu.

Walau bagaimanapun agak terlewat untuk kita mengawal kejatuhan Islam daripada lemah dan mungkin akan hancur kerana rancangan yang diatur sejak ribuan tahun itu betul-betul mengenai sasarannya hingga tidak ada sebuah negara Islam pun yang terdaya mempertahankannya kerana semua kekuatan politik dan ekonomi telah dikawal sepenuhnya melalui rancangan tersebut.

Rancangan ini bukan sahaja terhenti selepas tertawannya Baitulmaqdis tetapi berterusan menerusi jaringan gabungan antara Mossad dan CIA. Termasuklah rancangan globalisasi atau dunia tidak sempadan walaupun berkali-kali kita menyebut hal ini tetapi dipekakkan sahaja oleh setengah pihak.

Melihat kepada senario ini saya berpendapat usaha mengembalikan syiar Islam bukanlah satu perkara yang mudah dicapai dan sudah pasti tidak ada jalan pintas untuk mengatasinya. Kepada mereka tidak kesempatan membaca mengenai Mossad biarlah saya terangkan sedikit mengenainya.

Menurut Victor Ostrovsky dalam bukunya By Way Of Deception (Dengan Cara Tipu Muslihat) yang diharamkan di Israel: ''Mossad sebenarnya tidak wujud secara rasmi di Israel, tetapi semua orang tahu mengenainya. Ia adalah unggul, kemuncak, teragung dan tertinggi sekali.

Kita sedar ia adalah satu pertubuhan sulit dan sebaik sahaja kita dipanggil masuk. Kita buat apa yang disuruh sebab kita percaya di sebalik itu terdapat satu kuasa super magic (ajaib besar) yang akan dijelaskan kepada kita apabila tiba masanya.

Banyak latihan kita ditumpu kepada membuat hubungan dengan orang yang tiada tahu-menahu, membuat satu kepercayaan yang pelik, sekali gus semua orang menjadi perkakas.

Kita fikir semuanya tersedia dengan mudah, kita boleh menggunakan sesiapa sahaja. Keseluruhan sebenarnya adalah cara membohong, cerita benar tiada kaitan sama sekali.''

Pada tahun 1982 waktu saya sedang dalam perjalanan dari Madinah ke Jeddah saya ditumpangi dalam sebuah kereta yang dipandu oleh seorang Mesir bersama saya, tiga orang dari Sudan yang diperkenalkan sebagai guru dan seorang lagi perempuan tua dari Nigeria. Lebih kurang 15 minit selepas bertolak, pemandu dari Mesir itu telah membuka radio. Berita dalam radio itu menyebut Presiden Mesir Anwar Sadat akan melawat Baitulmaqdis, ketiga guru Sudan itu membantah kerana dengan lawatan itu bererti mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Baitulmaqdis.

Setelah mereka berbincang beberapa lama saya mencelah dengan berkata ''Janganlah kamu membazirkan wang dan jiwa pemuda kamu, berdamailah dahulu dengan apa cara sekalipun kerana kamu tidak akan terdaya menewaskan Israel pada masa yang singkat ini.'' Mereka bertanya kepada saya, ''Kenapa tidak?'' Saya sebutkan kata-kata Moshe Dayan tadi iaitu mereka telah merancang selama 2,000 tahun tetapi umat Islam tidak punya apa-apa rancangan cuma berperang dengan membuta tuli.

Kepada pihak yang ingin mendapat bantuan Amerika haruslah melihat semula mengenai rekod mereka dalam perhubungan mereka dengan negara Islam di dunia. Apa yang berlaku di Iraq adalah sama sekali terkeluar daripada perikemanusiaan, tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku di negara mereka sendiri dalam melayan hak penduduk kulit hitam dari awal hinggalah ke hari ini.

Anak muda di Iraq hampir dua generasi tidak bersekolah akibat sekatan ekonomi, ribuan anak kecil mati akibat kekurangan ubatan ini semua dipaksa ke atas rakyat Iraq kerana mereka ingin memaksa Iraq memusnahkan sama sekali keupayaan senjata nuklearnya sementara mereka menolong serta menggalakkan Israel membuat senjata nuklear.

Hal yang hampir sama dikenakan ke atas Libya, Pakistan, Sudan dan di Rwanda, satu juta kaum Tutsi dan Hutu terbunuh dalam 100 hari akibat pertelagahan kaum yang dihasut (petikan buku Season of Blood (Musim Darah) oleh Fergol Keane).

''Adakah mereka ini patut kita meminta tolong, bukankah usaha meminta bantuan mereka adalah satu usaha mengkhianati agama, bangsa dan negara'', sifat yang meminta dijauhi Allah s.w.t.

Sejak rancangan mereka untuk pengganti calon Perdana Menteri dipatahkan, beberapa cubaan telah dilakukan seperti penyangak mata wang hingga menyebabkan kejatuhan pasaran saham yang berbilion ringgit hingga mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa jatuh bankrap atau hampir bankrap.

Pengusaha bumiputera terpaksa menjual kepentingan mereka kepada bukan bumiputera, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pelbagai lagi kejadian yang amat menyedihkan.

Tidakkah kita bernasib baik kerana ancaman ini telah dapat diatasi dengan kebijaksanaan, berani dan kerja keras pemimpin dan kakitangan kerajaan dan rakyat yang setia kepada negara.

Perdana Menteri pernah berkata, ''Kejayaan kita selama 40 tahun telah hampir dimusnahkan akibat perbuatan anti-Islam ini.''

Al Gore begitu marah dengan ketewasan rancangan mereka hingga berlaku biadab kepada tuan rumah di dalam majlis negara yang dihadiri oleh ketua-ketua kerajaan dunia, Al Gore sepatut dilaknat waktu itu juga, tetapi Perdana Menteri masih boleh senyum menunjukkan keperibadiannya yang lebih tinggi daripada orang yang biadab.

Itulah sifat yang jarang terdapat kepada pemimpin dunia yang lain dan dengan kerana itu jugalah beliau dihormati dunia kecuali ejen Yahudi yang tidak sedar diri.

Kenapa kita tidak bercakap perkara yang baik seperti pesanan Rasullulah s.a.w, Bercakaplah yang baik atau berdiam diri. Tidaklah betul kalau kita katakan apa yang dibuat oleh kerajaan itu semua 100 peratus betul dan benar.

Walau bagaimanapun kejayaannya yang terserlah tidaklah patut dinafikan sama sekali seperti melepaskan umat Islam daripada riba. Melalui penubuhan Bank Islam dan lain-lain institusi Islam di universiti dan sebagainya untuk mempertingkat syiar Islam secara lebih teratur dan kemas.

Walaupun kerajaan mungkin melakukan kesilapan tetapi sudah pasti kebaikannya lebih daripada kesalahan, tidakkah Al-Quran menyebut, Kebaikan itu boleh menghapuskan kejahatan. (Surah Hud 114).


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

0 comments: